Salam buat semua...
Dah lama saya sangat saya tak mengemaskini blog ini. Terasa jugalah bersalahnya pada mereka yang berminat tentang rawatan bekam yang saya dan isteri tawarkan. Sejak blog ini diperkenalkan, isteri saya yang sebenarnya lebih banyak menerima kunjungan untuk berbekam dari pesakit wanita. Biarpun bukanlah kerap menerima pesakit, namun kami agak seronok dapat mempromosikan kaedah rawatan buat mereka yang 'berhajat'.
Biarpun saya dan isteri telah beberapa tahun memberi khidmat rawatan bekam sejak tinggal di Pulau Pinang lagi, kami taklah serius sangat membuat hebahan. Kami selalunya sekadar memberi cadangan rawatan alternatif kepada mereka yang benar-benar memerlukan sahaja. Boleh dikatakan, saya masih ingat kesemua pesakit yang datang kerana majoritinya adalah kawan-kawan dan saudara terdekat sahaja. Ada yang bermasalah dalam kitaran haid, sengal-sengal badan, sakit kepala, sakit bekas kemalangan, sakit saraf, tak boleh tidur malam, malah yang tak sakit pun ada. Mereka sekadar ingin mencuba dan merasa kaedah rawatan 'hebat' ini.
Seingat saya, ada dua pasangan yang telah dikurniakan anak berkat setelah mencuba kaedah bekam ini semasa kami di Pulau Pinang dahulu, Alhamdulillah. Namun terdapat juga beberapa pasangan lain yang masih juga tiada rezeki. Ramai yang telah hilang terus sakit setelah sekadar sekali berbekam, namun tak kurang juga yang terpaksa dibekam berkali-kali. Kesimpulan "kesembuhan itu datang dari Allah, kita sekadar berusaha dan cuba mencari penawar terbaik". Kami berdua menawarkan satu kaedah rawatan yang disyorkan oleh baginda Nabi dan sekadar untuk membantu kepada yang berhajat. Biarpun mengenakan sedikit bayaran sebagai upah berbekam, kami juga tak mengharapkan untuk menjadi jutawan dengan khidmat ini.
Tujuan kami lebih kepada mempromosikan rawatan bekam kepada masyarakat. Harapan kami agar lebih ramai yang akan cenderong kepada rawatan bekam daripada terpengaruh dengan iklan rawatan atau ubat yang 'ntah apa-apa' di pasaran kini. Kalau anda belum pernah berbekam, silalah mencuba...pasti berbaloi! Sekian Wassalam.