Wednesday, January 12, 2011

Rawatan bekam moden - Sebulan sekali

- Petikan dari Akhbar - KOSMO 1hb May 2009

Hari ini, terdapat pelbagai kaedah boleh digunakan lelaki dan wanita untuk menghilangkan stres serta memulihkan kelesuan tubuh.

Salah satu rawatan yang boleh dilakukan tanpa rasa sakit adalah :

Terapi Bekam : Ia adalah satu proses untuk membuang darah kotor dari dalam badan melalui permukaan kulit.

Jika dahulu bahan dan teknik yang digunakan agak ngeri iaitu melalui teknik torehan dan buluh. Ramai yang menyifatkan ia sakit dan berbahaya, terutama jika pesakit tersebut penghidap Human Immunodeficiency Virus (HIV).

Kini, kaedah bekam turut melalui satu evolusi apabila mangkuk kaca dan alat peniti khas berjarum halus digunakan. Jarum yang digunakan juga ditukar.

Ini diakui sendiri oleh Pengasas Pusat Homeopati dan Bekam, Dr. Nik Omar Nik Daud, apabila teknik bekam kini menggunakan teknologi moden dan selamat.

Beroperasi di Bandar Baru Bangi, Selangor, peralatan seperti mangkuk yang digunakan akan dibersihkan terlebih dahulu melalui proses pensterilan sebelum digunakan kepada pesakit lain.
"Tidak timbul soal bahaya dalam rawatan ini. Mangkuk yang digunakan terdiri daripada pelbagai bentuk. Ia akan digunakan mengikut umur dan berat badan pesakit.

"Malah, jarum yang digunakan ke atas pesakit juga tidak akan digunakan kepada pesakit lain," katanya ketika ditemui di kliniknya baru-baru ini.

JARUM yang digunakan kepada pesakit tidak akan dikongsikan dengan pesakit lain.

Nik Omar yang mempraktikkan bekam, akupuntur dan homeopati lebih daripada suku abad memberitahu, ramai yang tidak menyedari bahawa terdapat banyak toksik yang terperangkap di dalam tubuh badan mereka.

"Disebabkan itu, mereka sering merasa lenguh-lenguh badan, penat dan tidak bermaya. Amalan berbekam penting bagi memulihkan kembali fungsi tubuh kepada asal," kata anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini.


Secara saintifiknya, penyakit di dalam tubuh berpunca daripada makanan yang tidak seimbang.

Makanan pula akan dicernakan di dalam perut. Kapilari-kapilari dari perut pula akan menyerap zat-zat yang penting dan menjadi nutrien dalam darah.

Sisa-sisa daripada proses pencernaan pula akan dibuang dari tubuh badan sebagai najis, air kencing dan perpeluhan dari seluruh badan.

Darah yang mengandungi nutrien akan mengalir ke semua organ-organ dalam tubuh badan seperti hati, paru-paru, jantung, kelenjar, otak, organ pencernaan, ginjal, organ pembiakan dan lain-lain lagi.

RAWATAN bekam disaran dilakukan
Sekurang- kurangnya sebulan sekali.
Darah juga akan mengambil bahan-bahan buangan dalam darah dan mengangkutnya ke paru-paru, ginjal dan kulit untuk dikeluarkan daripada tubuh badan manusia.
Kegagalan bahan toksik dikumuhkan melalui sistem perpeluhan akan akan menyebabkan darah yang bertoksik terperangkap antara tiga milimeter hingga empat milimeter di bawah permukaan kulit.

MANGKUK yang digunakan untuk menyedut darah melalui proses pensterilan.

Bekam boleh dilakukan pada mana-mana bahagian tubuh kecuali bahagian yang bertulang dan berongga. "Lazimnya, ramai yang memilih bahagian belakang. Darah yang dikeluarkan melalui proses bekam lazimnya berwarna merah kehitaman dan agak sedikit likat. Adakanya ia juga berketul-ketul.

"Bergantung pada bahagian tubuh, kawasan yang mempunyai kandungan toksik yang tinggi akan mengeluarkan darah yang banyak," jelas Nik Omar.
Adakah bahagian yang dicucuk jarum itu terasa pedih apabila mandi? Jelas Nik Omar: "Tidak, anda boleh mandi seperti biasa."

Bekam dikatakan :
Teknik detoksifikasi yang berkesan, dapat merawat pelbagai penyakit dan memulihkan fungsi tubuh.

Dalam pada itu, wanita yang ingin datang ke pusat Nik Omar untuk sesi rawatan tidak perlu risau kerana mereka akan dirawat oleh dua orang pembantu wanita yang berpengalaman hampir lima tahun dalam teknik bekam.

Nur Shazatul Shafiqa Ab. Gafa, 23, mahir melakukan kaedah bekam yang dipelajarinya daripada Nik Omar hampir lima tahun.

Sejak kecil lagi Shafiqa berminat dengan perubatan alternatif. Lebih-lebih lagi apabila dia mendapat sokongan daripada bapanya.

"Ia adalah satu cabaran apabila kita mempelajari sesuatu yang berbeza. Mempelajari teknik berbekam bukanlah sesuatu yang sukar. Saya gembira apabila ayah menyetujui minat saya ini," kata gadis yang berasal dari Pahang itu.

Menurutnya, dalam sehari sebanyak empat hingga lima orang wanita atau lelaki datang melakukan rawatan bekam sama ada yang ingin membuang toksik atau mempunyai penyakit.

Tambahnya, selain untuk kesihatan, kaedah rawatan alternatif ini juga membantu dalam menaikkan seri wajah kerana aliran darah telah lancar.


Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
saphilla.isa@kosmo.com
KOSMO 1hb May 2009