Monday, November 30, 2009

Buku Rawatan Bekam - Siri 1



Sejarah Bekam

Bekam yang dikenali dengan nama Hijamah di dalam bahasa Arab, Cupping dalam bahasa Inggeris dan Gua Sha oleh bangsa Cina telah diamalkan sejak sekian lama di dalam peradaban manusia. Ada pendapat yang mengatakan bekam telah mula diamalkan sejak zaman tamadun Mesir purba iaitu di Lembah Sungai Nil dengan penggunaan tanduk binatang sebagai alat berbekam. Sejarah mencatatkan Hippocrates, selaku tokoh perubatan terbilang juga turut mempraktikkan kaedah ini sebagai rawatan.

Terdapat juga bukti yang menunjukkan bekam telah diamalkan oleh tamadun Cina sejak 2200 hingga 2600 tahun lalu. Penggunaan tanduk binatang sebagai alat bekam telah digantikan dengan penggunaan bekas yang diperbuat daripada buluh pada Dinasti Sui dan Tang. Pada Dinasti Ching, pembekam telah menggunakan peralatan yang diperbuat daripada tembikar, logam sehinggalah bekas kaca diperkenalkan. Bekam juga amat popular di Greek, Rom dan Eropah (1400 AD) sebagai rawatan alternatif mencuci darah selain daripada kaedah phlebotomy (pembuangan darah secara terkawal dengan cara menghiris urat tertentu). Pembekam biasanya terdiri daripada tukang-tukang gunting rambut yang menjalankan operasi bekam di pusat-pusat perhimpunan para bangsawan. Sign board berbelang merah putih berputar yang terdapat di luar kedai gunting di zaman itu pada asalnya bermaksud kedai tersebut menawarkan rawatan berbekam.

Bangsa Arab turut tidak ketinggalan mengamalkan bekam sebagai asas perawatan. Ia telah diperturunkan oleh lapisan generasi bangsa Arab sehinggalah kedatangan Islam di bumi Makkah. Semasa hayat Rasulullah SAW, baginda turut mempraktikkan rawatan bekam malah keutamaan bekam sebagai rawatan telah banyak diriwayatkan di dalam hadith.

Nabi S.A.W bersabda “Sebaik-baik sesuatu yang kamu gunakan sebagai ubat adalah berbekam” (H.R Bukhari & Muslim)

Terdapat beberapa hadith lain yang dikumpulkan pada Siri 5 menerangkan serba ringkas berhubung rawatan bekam mengikut pandangan Islam. Pembaca juga boleh merujuk kitab perubatan Islam karangan ulamak tersohor yang membahaskan tajuk ini adalah seperti Tibb An Nabawi karangan Imam Ibnu Qayyim (terjemahannya ada di pasaran) atau boleh juga cuba menyelak kitab Al Qaanun karangan Ibnu Sina jika berkemampuan.

Bekam juga tidak kurang popularnya di kepulauan Nusantara ini. Orang-orang Melayu khususnya, sejak sekian lama telah berbekam untuk mengeluarkan bisa binatang, menguatkan tubuh, menghilangkan penyakit malah untuk penjagaan kesihatan secara am. Namun kepercayaan kepada unsur-unsur tahyul telah menyebabkan ilmu warisan ini tidak berkembang sejajar dengan era kemodenan. Darah bekam dikaitkan dengan pemujaan atau amalan khurafat yang bercanggah dengan nilai agama. Kegagalan sebilangan pembekam tradisional memahami kaedah bekam yang sebenar dan menggunakan alatan yang tidak bersih menimbulkan kesan sampingan hingga menyebabkan masyarakat hilang minat untuk berbekam. Terlalu banyak ulasan yang salah berhubung kaedah perawatan ini, sehinggalah pada hari ini orang Melayu khususnya berfikiran negatif apabila membicarakan hal bekam.

Ikuti sambungan seterusnya pada Siri ke-2 : "Kehebatan Rawatan Darah"

Sunday, November 22, 2009

Buku Bekam



Salam untuk semua..

Artikel kedua ini membicarakan koleksi tulisan saya bertajuk Rawatan Bekam -Mengungkap Rahsia Warisan Silam yang bakal mengisi laman ini. Buku yang dikarang dengan niat untuk dipasarkan secara peribadi oleh penulis, namun sehingga kini usaha untuk mencetaknya pun belum tercapai. Berbekalkan azam dan semangat baru, saya amat berharap perkongsian ilmu di blog akan lebih memberi makna.

Buku ini hanyalah susunan ringkas penulis sekadar memberi pengenalan kepada prinsip dan tata cara berbekam. Ia terbahagi kepada enam sub topik yang dikupas berdasarkan pengalaman peribadi menjalankan Klinik Rawatan Bekam secara kecil-kecilan suatu ketika dahulu. Rujukan menghasilkan buku ini adalah daripada dua nota kursus yang pernah dihadiri penulis iaitu Kursus Bekam Inovatif anjuran Emtiaz Excel Sdn Bhd dan Kursus Intibah anjuran HPA Sdn Bhd. Jazakallah saya ucapkan kepada En Kosim daripada Emtiaz Excel dan juga buat Tn Hj Ismail, Pengarah Urusan Satu HPA yang telah sudi berkongsi ilmu dan pengalaman mereka.

Selain itu beberapa artikel, rencana akhbar dan maklumat tambahan daripada laman web telah diadun seadanya untuk menjadikan persembahan buku ini lebih universal. Oleh kerana kaedah berbekam bukanlah jenis rawatan tersohor dan kurang dikaji secara klinikal, saya andaikan buku ini bukanlah suatu rujukan yang sohih mutlak. Masih terdapat ruang untuk diperbaiki dan saya terbuka untuk menerima teguran yang membina. Demi niat untuk mempopularkan bekam sebagai rawatan alternatif, saya mengajak pembaca sekalian agar sudi melapangkan masa mengikuti enam siri yang bakal disisipkan iaitu :

1. Sejarah Bekam
2. Kehebatan Rawatan Darah
3. Tatacara Rawatan
4. Peraturan Bekam
5. Rawatan Holistik
6. Kawasan bekam mengikut titik akupuntur

Sudikanlah jua untuk bertanya, memberi komen dan berhubung terus dengan saya andai terdapat soalan yang bersifat peribadi. Sukar untuk saya bercerita panjang pada ruangan yang terhad ini kerana ilmu dan pengalaman sukar diterangkan sepenuhnya melalui penulisan di blog.

Pengalaman menjalankan rawatan bekam membenarkan saya menempuhi beberapa keajaiban yang sebenarnya telah diungkapkan oleh baginda Nabi S.A.W. sejak 14 kurun yang lalu. Saya melihat sendiri di depan mata bagaimana kesembuhan yang segera berlaku dengan izin Allah setelah mendapat rawatan bekam. Rawatan klasik yang sering diabaikan dan mungkin juga dipandang serong oleh segelintir masyarakat ini telah berjaya dimodenkan.

Kini isteri saya yang mulanya sekadar menjadi pelanggan utama, telah mampu merawat pesakit wanita. Saya juga bersyukur kerana bekam telah menemukan kami berdua dengan kenalan baru yang di antaranya telah berjaya mendapat zuriat melalui kaedah ini dengan izin Allah. Artikel ini diharapkan dapat menarik minat pembaca budiman agar sudi mengikuti buku "Rawatan Bekam-Mengungkap Rahsia Warisan Silam" yang akan muncul pada posting akan datang Insya Allah.

Salam Perkenalan...Mari Berbekam

Salam untuk semua,

Setelah dua tahun saya mencebur diri di dalam dunia blog, terbuka pula hati ini untuk menggunakan medium blog sebagai usaha untuk mempromosi perkhidmatan bekam yang saya dan isteri sedang usahakan. "Hai, duit gaji laki bini bekerja tak cukup makan lagi ka!", mungkin ada yang bertanya sedemikian. Bagi kami, bukan wang yang menjadi ukuran, bukan keuntungan yang menjadi sasaran, bukan harta yang diidamkan, sekadar menawarkan perkhidmatan sebagai hasil sampingan yang bersesuaian dengan jiwa raga dan kepakaran.

Ada orang suka bersukan, ada yang suka memancing, ada orang suka jalan-jalan dan ramai juga yang join persatuan atau atau pertubuhan politik, malah macam-macam lagi aktiviti mengikut kepala masing-masing. Semua itu hanyalah sekadar kegiatan masa lapang untuk dimanfaatkan dengan kegiatan yang paling disukai. Kami pilih untuk berbekam, bukan sekadar dapat membantu sesama manusia, pahalanya ada dan untung di dunia pun tak disangka-sangka!

Sebenarnya kami telah lama menjalankan rawatan bekam sejak di Pulau Pinang dahulu, namun tidaklah secara komersial. Ia lebih kepada pertolongan kepada sahabat-sahabat yang memerlukan. Tak tergambar sebenarnya perasaan seronok bila mendapat tahu pesakit kita sembuh serta merta dengan izin Allah selepas berbekam. Nak kata pandai sangat pun tidak, nak kata naif sangat pun tidak, namun teknik berbekam ini adalah kepakaran yang saya pelajari sejak di zaman universiti lagi.

Bukanlah diri ini seorang yang arif lagi mahir di dalam apa jua bidang melainkan niat ikhlas semata-mata untuk meningkatkan usaha ke jalan yang diredhoi Allah. Laman ini akan menghimpunkan artikel berkenaan rawatan bekam yang saya kumpulkan dari alam cyber ini. Saya juga Insya Allah akan turut berkongsi maklumat rawatan bekam hasil pengalaman merawat sejak lebih 8 tahun lalu. Kepada pembaca dan pelawat budiman, diharap mendapat manfaat daripada maklumat yang disediakan di sini dan membantu mempromosikan laman ini kepada rakan-rakan. Sekian sebagai salam perkenalan, mari berbekam & wassalam.