Sunday, November 22, 2009

Buku Bekam



Salam untuk semua..

Artikel kedua ini membicarakan koleksi tulisan saya bertajuk Rawatan Bekam -Mengungkap Rahsia Warisan Silam yang bakal mengisi laman ini. Buku yang dikarang dengan niat untuk dipasarkan secara peribadi oleh penulis, namun sehingga kini usaha untuk mencetaknya pun belum tercapai. Berbekalkan azam dan semangat baru, saya amat berharap perkongsian ilmu di blog akan lebih memberi makna.

Buku ini hanyalah susunan ringkas penulis sekadar memberi pengenalan kepada prinsip dan tata cara berbekam. Ia terbahagi kepada enam sub topik yang dikupas berdasarkan pengalaman peribadi menjalankan Klinik Rawatan Bekam secara kecil-kecilan suatu ketika dahulu. Rujukan menghasilkan buku ini adalah daripada dua nota kursus yang pernah dihadiri penulis iaitu Kursus Bekam Inovatif anjuran Emtiaz Excel Sdn Bhd dan Kursus Intibah anjuran HPA Sdn Bhd. Jazakallah saya ucapkan kepada En Kosim daripada Emtiaz Excel dan juga buat Tn Hj Ismail, Pengarah Urusan Satu HPA yang telah sudi berkongsi ilmu dan pengalaman mereka.

Selain itu beberapa artikel, rencana akhbar dan maklumat tambahan daripada laman web telah diadun seadanya untuk menjadikan persembahan buku ini lebih universal. Oleh kerana kaedah berbekam bukanlah jenis rawatan tersohor dan kurang dikaji secara klinikal, saya andaikan buku ini bukanlah suatu rujukan yang sohih mutlak. Masih terdapat ruang untuk diperbaiki dan saya terbuka untuk menerima teguran yang membina. Demi niat untuk mempopularkan bekam sebagai rawatan alternatif, saya mengajak pembaca sekalian agar sudi melapangkan masa mengikuti enam siri yang bakal disisipkan iaitu :

1. Sejarah Bekam
2. Kehebatan Rawatan Darah
3. Tatacara Rawatan
4. Peraturan Bekam
5. Rawatan Holistik
6. Kawasan bekam mengikut titik akupuntur

Sudikanlah jua untuk bertanya, memberi komen dan berhubung terus dengan saya andai terdapat soalan yang bersifat peribadi. Sukar untuk saya bercerita panjang pada ruangan yang terhad ini kerana ilmu dan pengalaman sukar diterangkan sepenuhnya melalui penulisan di blog.

Pengalaman menjalankan rawatan bekam membenarkan saya menempuhi beberapa keajaiban yang sebenarnya telah diungkapkan oleh baginda Nabi S.A.W. sejak 14 kurun yang lalu. Saya melihat sendiri di depan mata bagaimana kesembuhan yang segera berlaku dengan izin Allah setelah mendapat rawatan bekam. Rawatan klasik yang sering diabaikan dan mungkin juga dipandang serong oleh segelintir masyarakat ini telah berjaya dimodenkan.

Kini isteri saya yang mulanya sekadar menjadi pelanggan utama, telah mampu merawat pesakit wanita. Saya juga bersyukur kerana bekam telah menemukan kami berdua dengan kenalan baru yang di antaranya telah berjaya mendapat zuriat melalui kaedah ini dengan izin Allah. Artikel ini diharapkan dapat menarik minat pembaca budiman agar sudi mengikuti buku "Rawatan Bekam-Mengungkap Rahsia Warisan Silam" yang akan muncul pada posting akan datang Insya Allah.

1 comment: