Monday, November 30, 2009

Buku Rawatan Bekam - Siri 1



Sejarah Bekam

Bekam yang dikenali dengan nama Hijamah di dalam bahasa Arab, Cupping dalam bahasa Inggeris dan Gua Sha oleh bangsa Cina telah diamalkan sejak sekian lama di dalam peradaban manusia. Ada pendapat yang mengatakan bekam telah mula diamalkan sejak zaman tamadun Mesir purba iaitu di Lembah Sungai Nil dengan penggunaan tanduk binatang sebagai alat berbekam. Sejarah mencatatkan Hippocrates, selaku tokoh perubatan terbilang juga turut mempraktikkan kaedah ini sebagai rawatan.

Terdapat juga bukti yang menunjukkan bekam telah diamalkan oleh tamadun Cina sejak 2200 hingga 2600 tahun lalu. Penggunaan tanduk binatang sebagai alat bekam telah digantikan dengan penggunaan bekas yang diperbuat daripada buluh pada Dinasti Sui dan Tang. Pada Dinasti Ching, pembekam telah menggunakan peralatan yang diperbuat daripada tembikar, logam sehinggalah bekas kaca diperkenalkan. Bekam juga amat popular di Greek, Rom dan Eropah (1400 AD) sebagai rawatan alternatif mencuci darah selain daripada kaedah phlebotomy (pembuangan darah secara terkawal dengan cara menghiris urat tertentu). Pembekam biasanya terdiri daripada tukang-tukang gunting rambut yang menjalankan operasi bekam di pusat-pusat perhimpunan para bangsawan. Sign board berbelang merah putih berputar yang terdapat di luar kedai gunting di zaman itu pada asalnya bermaksud kedai tersebut menawarkan rawatan berbekam.

Bangsa Arab turut tidak ketinggalan mengamalkan bekam sebagai asas perawatan. Ia telah diperturunkan oleh lapisan generasi bangsa Arab sehinggalah kedatangan Islam di bumi Makkah. Semasa hayat Rasulullah SAW, baginda turut mempraktikkan rawatan bekam malah keutamaan bekam sebagai rawatan telah banyak diriwayatkan di dalam hadith.

Nabi S.A.W bersabda “Sebaik-baik sesuatu yang kamu gunakan sebagai ubat adalah berbekam” (H.R Bukhari & Muslim)

Terdapat beberapa hadith lain yang dikumpulkan pada Siri 5 menerangkan serba ringkas berhubung rawatan bekam mengikut pandangan Islam. Pembaca juga boleh merujuk kitab perubatan Islam karangan ulamak tersohor yang membahaskan tajuk ini adalah seperti Tibb An Nabawi karangan Imam Ibnu Qayyim (terjemahannya ada di pasaran) atau boleh juga cuba menyelak kitab Al Qaanun karangan Ibnu Sina jika berkemampuan.

Bekam juga tidak kurang popularnya di kepulauan Nusantara ini. Orang-orang Melayu khususnya, sejak sekian lama telah berbekam untuk mengeluarkan bisa binatang, menguatkan tubuh, menghilangkan penyakit malah untuk penjagaan kesihatan secara am. Namun kepercayaan kepada unsur-unsur tahyul telah menyebabkan ilmu warisan ini tidak berkembang sejajar dengan era kemodenan. Darah bekam dikaitkan dengan pemujaan atau amalan khurafat yang bercanggah dengan nilai agama. Kegagalan sebilangan pembekam tradisional memahami kaedah bekam yang sebenar dan menggunakan alatan yang tidak bersih menimbulkan kesan sampingan hingga menyebabkan masyarakat hilang minat untuk berbekam. Terlalu banyak ulasan yang salah berhubung kaedah perawatan ini, sehinggalah pada hari ini orang Melayu khususnya berfikiran negatif apabila membicarakan hal bekam.

Ikuti sambungan seterusnya pada Siri ke-2 : "Kehebatan Rawatan Darah"

No comments:

Post a Comment